Bismillahirrahmanirrahim..
"Barakallahu lakuma wa baraka ‘alaikuma fi khayr!” bait doa yang dilantun untuk pasangan pengantin agar perkahwinan yang dibina dihiasi barakah dan terhimpun dalam kebaikan. Didalam hati, doa yang sama saya pohon agar perkahwinan kami kekal bahagia.
Jujurnya, mengekalkan momentum cinta tidak semudah hanya sekadar melafazkan “ i love you, sayang! ”. Proses menyemai cinta itu adalah proses yang konsisten dan berpanjangan.
Dalam kesibukan hari-hari yang dipenuhi dengan urusan kerja, temujanji, usrah, program dan sebagainya, mempamerkan cinta kepada pasangan sudah seperti perkara yang lapuk untuk dinyatakan. Alah, suami isteri kan memang seharusnya untuk dicintai. Hujah kita.
Lantas kita terlupa untuk memberikan pujian, terlupa untuk pelukan mesra, terlupa membantunya yang sedang terkocoh-kocoh menyiapkan makan malam. Segalanya seakan hambar. Perkataan romantis hilang dari kamus perkahwinan. Seolahnya seperti kita memang selalu perasan cinta itu akan sentiasa ada walau tanpa dibaja.
Dalam firman Allah :
“Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir”
(Ar-Ruum 21)
Rasa cinta antara suami dan isteri adalah rasa yang terhormat dan mulia. Melalui pasangan kita, Allah menitipkan antara nikmat cinta yang diberikan untuk hamba-hamba yang dikehendakiNya. Dalam tafsiran kalimah mawaddah, ia memberi makna cinta yang bergelora dalam rumah tangga. Menurut sebahagian pemberi tafsir, Allah menggunakan kata ‘ja’ala” yang menunjukkan diperlukan ilmu dan usaha dalam menghadirkan perasaan cinta itu.
Maka kebanyakkan rumah tangga bermasalah bukan disebabkan kurangnya cinta, melainkan kurangnya ilmu. Contohnya ilmu dalam menzahirkan dan memahami bahasa cinta pasangan.
Melalui kajian kaunselor keluarga, Dr. Gary Chapman menyatakan terdapat 5 bahasa cinta yang digunakan dalam memahami dan mengekpresikan cinta. Setiap individu berbahasa dengan bahasa cinta yang berbeza. Kesukaran memahami bahasa cinta dari pasangan kita mampu menyebabkan pasangan atau diri kita merasa tidak dihargai.
Bahasa Cinta #1 - Luahan penghargaan
Ada orang sangat suka memberi pujian dan penghargaan. Siapa pula yang tak sukakan pujian? Kata penghargaan adalah merupakan bahasa cinta yang mudah diucap. Tidak perlu tunggu untuk perkara yang besar untuk berikan pasangan pujian. Hal-hal sederhana seperti memuji kecantikannya, mengucapkan terima kasih kerana membuangkan sampah, semuanya layak untuk terima ucapan pujian. Luahan penghargaan bukan hanya dilakukan ketika awal perkahwinan sahaja ya. Tetapi selamanya.
Bahasa Cinta #2 - Masa berkualiti
Meskipun sebagai pasangan suami isteri yang tinggal sebumbung, namun kadang-kadang tiada masa berkualiti. Masing-masing sibuk dengan urusan kerja rumah atau anak-anak. Percayalah, pasangan akan sangat menghargai masa yang diluangkan untuk membuat aktiviti bersama. Walaupun hanya duduk dan mendengarnya, itu lebih dari cukup. Namun, jangan pula ketika bersama anda asyik mengadap handphone.
Bahasa Cinta #3 : Meraikan pemberian atau hadiah
Tidak perlu tunggu hari kelahiran atau ulangtahun perkahwinan untuk berikan hadiah kepada pasangan. Hadiahkanlah kepada pasangan se-simple kuih karipap untuk minum petang. Pasti si dia tersenyum simpul mengenangkan kebaikan anda. Jangan salah faham pula, pasangan yang dominan bahasa cintanya menerima hadiah ini sebagai materialistik. Si dia bukan mahu hadiah yang mewah, paling penting baginya adalah makna di sebalik hadiah tersebut walaupun hadiahnya kecil dan murah.
Bahasa Cinta #4 - Sentuhan Fizikal
Sentuhan fizikal adalah salah satu bentuk komunikasi yang paling berkesan. Tidak ada salahnya jika anda selalu memanjakan pasangan yang mempunyai bahasa cinta sentuhan fizikal ini dengan memberikan pelukan kepadanya dalam situasi apapun. Tip mudahnya, setiap kali anda keluar bersama peganglah bahu atau tangan si dia. Pasti berbunga-bunga hatinya.
Bahasa Cinta #5 - Layanan Khidmat Bantuan
Terkadang kita merasakan banyak perkara yang sudah dilakukan dalam menzahirkan kasih sayang namun si dia masih merasakan belum cukup dihargai. Cuba semak adakah kita sudah cukup melayan dan membantu pasangan dalam urusan sehariannya seperti membantunya mencuci kereta, membantunya menyediakan sarapan atau dalam urusan yang mampu meningkatkan produktiviti kerja. Sifir mudahnya, apa sahaja perkara si dia sedang lakukan, cuba bantu bersama untuk menggembirakannya.
Menurut Dr Gary Chapman lagi, kebanyakan pasangan mempunyai bahasa cinta yang berbeza. Di sinilah setiap pasangan harus mengetahui dan belajar bagaimana membuatkan pasangannya rasa dicintai dan dihargai. Walaupun setiap pasangan cenderung untuk mempamerkan satu bahasa yang dominan daripada yang lain, namun kita masih mampu menikmati bahasa cinta yang lain juga.
Lima bahasa cinta ini perlu diadun dengan kreatif dalam menyegarkan cinta antara pasangan.
Jadi, yang mana satu agaknya bahasa cinta anda dan pasangan?
Jadi, yang mana satu agaknya bahasa cinta anda dan pasangan?
Cuba jawab kuiz pada halaman ini untuk mengetahuinya lebih lanjut :
http://www.5lovelanguages.com/profile/couples/
Selamat bercinta!
Selamat bercinta!
..............
Diambil dari: Facebook JK PEKA IKRAM
“Jemari menyusun kalam
Fikir, bertindak memberi faham
Mengumpul bekal temu Rabbul alam”
No comments:
Post a Comment